STRESS

KARANGAN 1 :

KARANGAN KESAN STRESS KEPADA SESEORANG

Stres dapat menjadi pendorong kepada sesuatu tindakan dan pencapaian serta boleh menimbulkan masalah kesihatan. Stres merupakan hasil interaksi antara peristiwa persekitaran dengan individu. Paras stress yang dihasilkan akan bergantung kepada sumber tekanan dan cara individu tersebut bertindak balas.
Stres member kesan terhadap emosi seseorang. Emosi seseorang itu akan terganggu dan perasaan risau sentiasa menghantuinya. Selain itu, seseorang itu mengalami ketegangan fikiran dan tidak dapat membuat keputusan dengan baik. Stres juga menyebabkan seseorang itu berasa seolah-olah otaknya sentiasa letih dan penat berfikir.Stres mengubah sikap seseorang itu daripada seorang yang sabar kepada cepat marah dan sentiasa mengeluh. Kadang-kadang, seseorang itu juga menunjukkan perasaan runsing, kecewa dan mudah menangis. Stres yang tidak terkawal akan menyebabkan perasaan cemas, sensitive,murung,sukar tidur dan hilang selera makan.
Stres juga mendatangkan ancaman penyakit kepada kesihatan seseorang. Apabila seseorang itu mengalami stres, kadar denyutan jantung menjadi cepat dan menyebabkan tekanan darah turut meningkat. Sistem penghadaman juga menjadi perlahan dan beberapa bahan kimia dalam tubuh dilepaskan supaya darah lebih mudah bergumpal. Selain itu, kadar pernafasan yang semakin laju menyebabkan otot-otot menjadi tegang. Hal yang demikian menyebabkan kadar perpeluhan yang meningkat. Penyakit seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok mudah menyerang seseorang yang mengalami stress.
Stres juga member ketidakselesaan kepada seseorang. Apabila stress, seseorang itu akan mengalami denyutan jantung yang laju dan tidak tetap. Hal ini demikian kerana otot-ototo menjadi tegang dan mengakibatkan dada berasa tidak selesa. Secara fizikalnya, seseorang itu akan mengalami sakit kepala dan kadang-kadang muntah. Stres juga menyebabkan seseorang itu kerap membuang air kecil. Tubuh badan akan berasa letih, lesu dan lemah. Mulut dan tekak akan menjadi kering dan menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa. Selain itu, masalah kulit seperti psoriasis, eczema dan jerawat juga timbul.
Di samping kesan buruk, stress juga memberikan kesan yang baik secara semula jadi. Badan dapat bertindak balas apabila menerima tekanan. Kelenjar pituitari yang terletak di bawah otak akan bertindak balas terhadap tekanan yang diterima dengan merembeskan hormone adrenocorticotropik (ACTH). Hormon tekanan ini, termasuk kortisol dan adrenalin akan membantu meningkatkan daya tumpuan, mempercepatkan tindakan dan meningkatkan kekuatan serta pergerakkan seseorang. Hal ini demikian membolehkan seseorang itu menganggap stress mampu menjadikannya bertiindak lebih aktif dan membuat pertimbangan yang wajar. Ketiadaan stress akan menjadikan seseorang itu lambat bertindak balas kerana sentiasa berada di zon selesa.
Kesimpulannya, stress atau tekanan yang dialami oleh seseorang individu merupakan tindak balas daripada ketidakupayaan seseorang menangani masalah yang sedang dihadapi. Sekiranya tekanan atau stress ini tidak ditangani, akan memudaratkan individu tersebut baik daripada aspek fizikal, mental, emosi mahupun aktiviti sosial mereka.


 KARANGAN 2 :


  
CARA-CARA ANDA MENGATASI TEKANAN ATAU STRES

Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza  tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa  kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan  sehingga tekanan yang dihadapi  itu  membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaran. Oleh hal yang demikian, sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.
                                                                             
Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan  tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya  memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya  sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan  berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan  tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.

Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan. Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut.  Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga kehidupan akan menjadi sepi.  Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah  muzik seperti memiliki kuasa magis  yang berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air.

Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi.Setiap hari saya akan mendirikan solat , sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana solat merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, solat memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Solat yang khusyuk akan menjadikan saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa dekatnya diri  saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh  seorang penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa solat merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh perjalanan luas pemandangan, banyak pula pengalaman. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.



 KARANGAN 3 :

Usaha Menangani Stress

Remaja hari ini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Stres yang dihadapi telah menyebabkan ada remaja yang mengambil tindakan yang tidak sesuai. Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani stres.
Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang bijak.
Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetus masalah lain. Contohnya, remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza. Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan itu tidak bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.
Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan masalah. Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan mereka akan menjadi murung. Kemurungan yang berlebihan akan membawa kepada masalah jiwa. Perkara ini boleh dielakkan jika remaja mencari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah mereka. Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun remaja perlu bijak memilih orang yang paling dipercayai. Walaupun orang yang mendengar tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda. Melepaskan apa yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik dalam menangani stres.
Selain itu, cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan. Dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, remaja dapat menerima hakikat bahawa masalah yang datang itu adalah dugaan daripada Tuhan untuk menguji tahap keimanan seseorang. Dugaan itu akan dipandang dari sudut yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau takdir daripada Tuhan. Maka mendekatkan diri kepada Tuhan dengan beribadat merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan hati dan remaja boleh memohon petunjuk daripada Tuhan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Kerunsingan terbukti dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah. Jika ada masalah, luangkan masa untuk bersenam atau berjalan-jalan di kawasan riadah yang tenang. Ini selaras dengan slogan badan cergas otak cerdas. Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan tekanan pada minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung. Remaja juga patut mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bersama-sama beriadah dan hasil komunikasi ketika sesi riadah dapat membantu meringankan masalah. Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberi ilham kepada remaja untuk menyelesaikan masalah emosi yang ditanggung.
Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.


KARANGAN 4 :


Cara Untuk Menangani Masalah Stress


Stress berlaku apabila seseorang menghadapi masalah besar dan berfikiran negative terhdap sesuatu perkara. Terlalu banyak faktor yang menyebabkan stressberlaku dalam seseorang individu.Antara punca stress adalah mengalami masalah hidup seperti masalah kewangan, rumahtangga, persahabatandan stress juga disebabkan oleh faktor sekeliling.
Tanpa disedari, stress akan memberikan kesan buruk kepada kesihatan manusia jika mengalami tekanan yang berterusan. Oleh yang demikian, individu haruslah bijak untuk menangani masalah stress yang selalu berlaku dalam diri manusia.
Antara cara untuk mengatasi masalah stress adalah mengatur pemakanan yang betul. Makanan adalah penting untuk individu mempunyai tenaga bagi menjalankan aktiviti harian.
Pemilihan makanan akan mempengaruhi tenaga kita sekaligus mengurangkan perasaan stress tersebut timbul. Tambahan lagi, pengambilan makanan secara diet yang seimbang juga akan dapat menambah zat makanan yang diperlukan dalam tubuh badan manusia. Dengan itu, adalah amat penting untuk mengambil makanan yang menjamin kesihatan tubuh badan.
Langkah seterusnya berfikiran positif. Hal ini amat penting untuk kita berfikir secara bernas dan bijak ketika berada dalam sesuatu situasi yang tegang. Semua masalah boleh diselesaikan jika kita berfikir secara positif dan rasional dan stress hanya akan membebanka nmasalah yang timbul dalamdiri seseorang.
Oleh itu, seseorang akan lebih mudah mengawal emosi jika berfikiran positif dan bersedia untuk mencari altenatif penyelesaian yang terbaik dalam usaha menyelesaikan masalah tanpa perlu mempengaruhi kesihatan diri sendiri.  Selain itu, individu juga tidak perlu membeban kandiri masing-masing. Hal ini berlaku apabila seseorang itu menaruh harapan yang tinggi dalam sesuatu perkara hingga terlupa akan kemampuan diri yang dimiliki beliau. Oleh itu, individu harus sedarakan kemampuan kita kerana stess akan berlaku jika kita tidak mendapat apa yang diinginkan atau mengalami kegagalan. Lalu, jalan penyelesaian adalah melakukan tugasan secara sistematik agar perasaan stress dapat dielakkan dari semasa ke semasa.
Berehat juga boleh mengatasi masalah stress. Kebiasaannya, individu yang mengalami stress akan sibuk dan kekurangan masa untuk tidur. Hal ini bermaksud, tubuh badan tidak memperolehi rehat yang secukupnya lalu ia akan memudaratkan kesihatan seseorang. oleh yang demikian, seseorang individu hendaklah mengatur masa tidur dan rehat secara sistematik agar tubuh badan tidak menjadi lemah. Tambahan lagi, beriadah dan mendengar music secaraber sendiri juga boleh merehatkan minda daripada masalah stress.
Alternatif yang seterusnya ialah berkomunikasi dengan keluarga dan rakan-rakan. Sebagai seorang manusia, kita hendaklah berinteraksi dengan orang lain agar hidup tidak berseorangan. Hal ini kerana berseorangan juga boleh menimbulkan perasaan stress. Kita perlukan seseorang untuk menyokong dan mendorong supaya hidup lebih bermotivasi dan ia jugaa kan menghilangkan rasa rungsing yang berada dalam fikiran. Olehitu, individu haruslah meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan pada masa kelapangan


 KARANGAN 5 :


 Kesan Stres Kepada Seseorang

Stres dapat menjadi pendorong kepada sesuatu tindakan dan pencapaian serta boleh menimbulkan masalah kesihatan. Stres merupakan hasil interaksi antara peristiwa persekitaran dengan individu. Paras stress yang dihasilkan akan bergantung kepada sumber tekanan dan cara individu tersebut bertindak balas.
Stres member kesan terhadap emosi seseorang. Emosi seseorang itu akan terganggu dan perasaan risau sentiasa menghantuinya. Selain itu, seseorang itu mengalami ketegangan fikiran dan tidak dapat membuat keputusan dengan baik. Stres juga menyebabkan seseorang itu berasa seolah-olah otaknya sentiasa letih dan penat berfikir.Stres mengubah sikap seseorang itu daripada seorang yang sabar kepada cepat marah dan sentiasa mengeluh. Kadang-kadang, seseorang itu juga menunjukkan perasaan runsing, kecewa dan mudah menangis. Stres yang tidak terkawal akan menyebabkan perasaan cemas, sensitive,murung,sukar tidur dan hilang selera makan.
Stres juga mendatangkan ancaman penyakit kepada kesihatan seseorang. Apabila seseorang itu mengalami stres, kadar denyutan jantung menjadi cepat dan menyebabkan tekanan darah turut meningkat. Sistem penghadaman juga menjadi perlahan dan beberapa bahan kimia dalam tubuh dilepaskan supaya darah lebih mudah bergumpal. Selain itu, kadar pernafasan yang semakin laju menyebabkan otot-otot menjadi tegang. Hal yang demikian menyebabkan kadar perpeluhan yang meningkat. Penyakit seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok mudah menyerang seseorang yang mengalami stress.
Stres juga member ketidakselesaan kepada seseorang. Apabila stress, seseorang itu akan mengalami denyutan jantung yang laju dan tidak tetap. Hal ini demikian kerana otot-ototo menjadi tegang dan mengakibatkan dada berasa tidak selesa. Secara fizikalnya, seseorang itu akan mengalami sakit kepala dan kadang-kadang muntah. Stres juga menyebabkan seseorang itu kerap membuang air kecil. Tubuh badan akan berasa letih, lesu dan lemah. Mulut dan tekak akan menjadi kering dan menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa. Selain itu, masalah kulit seperti psoriasis, eczema dan jerawat juga timbul.

Di samping kesan buruk, stress juga memberikan kesan yang baik secara semula jadi. Badan dapat bertindak balas apabila menerima tekanan. Kelenjar pituitari yang terletak di bawah otak akan bertindak balas terhadap tekanan yang diterima dengan merembeskan hormone adrenocorticotropik (ACTH). Hormon tekanan ini, termasuk kortisol dan adrenalin akan membantu meningkatkan daya tumpuan, mempercepatkan tindakan dan meningkatkan kekuatan serta pergerakkan seseorang. Hal ini demikian membolehkan seseorang itu menganggap stress mampu menjadikannya bertiindak lebih aktif dan membuat pertimbangan yang wajar. Ketiadaan stress akan menjadikan seseorang itu lambat bertindak balas kerana sentiasa berada di zon selesa.
Kesimpulannya, stress atau tekanan yang dialami oleh seseorang individu merupakan tindak balas daripada ketidakupayaan seseorang menangani masalah yang sedang dihadapi. Sekiranya tekanan atau stress ini tidak ditangani, akan memudaratkan individu tersebut baik daripada aspek fizikal, mental, emosi mahupun aktiviti sosial mereka.






















Comments

Popular posts from this blog

MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

BAB 9:LARAS BAHASA