TEKNOLOGI SEBAGAI PENYELESAIAN KEPADA MASALAH KRISIS MAKANAN DUNIA

Teknologi Sebagai Penyelesaian Kepada Masalah Krisis Makanan Dunia








INOVASI DALAM PERTANIAN KE  ARAH JAMINAN BEKALAN MAKANAN  DAN PEMBANGUNAN NEGARA
               
            Sektor pertanian dan  sektor asas tani amat penting dalam pembangunan sesebuah negara. Melalui sistem pertanian yang terancang, bekalan makanan dapat disalurkan kepada setiap penduduk di negara ini. Dalam pada itu, pertambahan penduduk dan pembangunan negara yang semakin pesat menyebabkan bahan makanan semakin berkurang. Oleh hal yang demikian, kerajaan terpaksa mengimport bahan makanan daripada negara jiran dan negara luar. Menyedari hakikat bahawa Malaysia berpotensi untuk menghasilkan pelbagai sumber makanan yang tersendiri lantaran kemakmuran dan kesuburan bumi beriklim Tropika ini, maka inovasi amatlah penting bagi menjamin bekalan makanan berterusan dan pembangunan negara berada pada tahap yang mapan.
            Suatu masa dahulu, ketika Malaysia diduduki oleh tentera Jepun, Malaysia menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan. Sememangnya seperti yang kita ketahui pendudukan tentera Jepun di negara kita meninggalkan banyak kesan buruk. Kehadiran Jepun di negara kita adalah bagi meniupkan slogan “Asia Untuk Asia”. Jika dilihat kesannya dari segi ekonomi,  pihak Jepun mengenakan catuan bekalan makanan untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan makanan. Kad catuan diberikan kepada setiap keluarga untuk mendapatkan bekalan makanan yang hanya diberikan sebanyak dua gantang untuk sebulan. Oleh itu ubi kayu dan ubi keledek menjadi makanan asasi. Namun, kita belajar daripada sejarah silam. Kini, pelbagai usaha harus dilaksanakan dan dipertimbangkan bagi mendapat penyelesaian yang bernas dan bijak bagi mengelakkan berlakunya krisis sebegini berulang kembali bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.  Sikap masyarakat yang hanya pandai memberikan komentar bahkan hasilnya hanyalah sifar tidak seharusnya berlaku. Oleh itu, di sinilah letaknya peranan inovasi dalam bidang pertanian.
              Inovasi dalam penggunaan mesin dan jentera memainkan peranan penting dalam  usaha memajukan sektor pertanian di negara kita.  Penggunaan jentera bukan hanya mempercepat kerja pertanian bahkan juga mampu menjimatkan kos buruh, meningkatkan kecekapan pengeluaran dan menjimatkan masa kerja. Jika dahulu, kita hanya menggunakan tenaga manusia atau buruh bagi menjalankan segala kegiatan yang berkaitan sektor pertanian. Penggunaan haiwan seperti kerbau bagi membajak tanah juga digunakan pada zaman dahulu. Inovasi dalam pertanian mula menyerlahkan hasilnya melalui ciptaan jentera pembajak sawah, mesin penuai padi, malah terdapat banyak ciptaan mesin dihasilkan untuk memajukan sektor pertanian di negara kita.
             Pada era dunia yang serba moden ini, orang ramai seperti tidak mengambil peduli tentang pertanian yang berlaku di negara ini. Pernahkah kita terfikir akan kesukaran mendapatkan bekalan makanan seandainya tahap pertanian di negara kita berada pada takat yang sama? Tanpa adanya perubahan dan inovasi, sumber makanan di negara kita pasti akan berkurangan. Kerajaan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menyediakan dana yang banyak kepada  Jabatan Pertanian, MARDI, MPOB dan institusi pendidikan tinggi untuk menggalakkan penyelidikan bagi meningkatkan dan memajukan sektor pertanian di negara kita.
             Pihak bank di negara ini memainkan peranan penting dalam menggalakkan inovasi dalam bidang pertanian. Pihak bank haruslah melonggarkan syarat pinjaman kepada para petani dan mengurangkan kadar faedah yang perlu dibayar oleh peminjam. Hal ini demikian kerana kebanyakan petani tinggal di pedalaman kerana kedudukan yang lebih strategik, mempunyai sistem pengairan yang baik dan tanah yang subur. Golongan ini kebanyakannya tergolong daripada golongan berpendapatan rendah dan memerlukan pinjaman untuk membangunkan pertanian mereka . Dengan keuntungan yang diperoleh, mereka boleh memperuntukkan keuntungan tersebut untuk mendapatkan jentera dan mesin yang lebih baik seterusnya dapat meningkatkan produktiviti hasil pertanian negara untuk menampung permintaan yang  banyak saban hari.
             Kaedah bioteknologi dalam pertanian merupakan satu teknologi yang sangat penting yang diperlukan dalam proses peningkatan produk pertanian. Bioteknologi ialah proses sel atau organisma digunakan sebagai bahan asas dalam proses teknologi untuk menghasilkan sesuatu produk . Melalui kaedah ini , kita dapat menambahkan nilai pemakanan. Kaedah ini juga dapat membaiki ciri fizikal hasil pertanian dan mengawal penyakit yang berlaku ke atas tanaman. Inovasi dalam penggunaan bioteknologi ini mempunyai masa depan yang amat cerah sehingga kerajaan merangka Dasar Bioteknologi Negara dan menubuhkan Biotechcorp bagi membolehkan inovasi dalam bioteknologi dilakukan secara berterusan. Banyak ciptaan terkini dan berdaya saing akan mampu dihasilkan melalui penubuhan Biotechcorp ini.
               Kultur tisu juga merupakan satu inovasi baharu yang amat membanggakan dan berpotensi untuk dikomersialkan. Sebenarnya kultur tisu merupakan satu cara menghasilkan anak pokok yang lengkap. Lebih tepat lagi kultur tisu ialah proses pengklonan yang berbaka baik. Kebaikan daripada kaedah ini , tumbuhan yang susah dibiakkan dengan menggunakan bijih benih boleh dibiakkan  melalui cara ini . Secara tidak langsung , pengeluaran bahan makanan dapat dipertingkatkan . Kaedah ini juga mampu menghapuskan virus-virus atau penyakit daripada pokok yang dijangkitinya . Selain itu , kaedah ini amat berguna untuk menghasilkan klon-klon yang banyak dengan mudah dan cepat . Antara pokok yang boleh menggunakan kaedah ini ialah getah kelapa sawit , orkid , nanas dan pisang. Hasilnya, inovasi ini mampu menyediakan bekalan sumber makanan yang berterusan sehingga boleh dieksport dan memberi pulangan yang besar terhadap ekonomi negara.
               Sehubungan dengan itu, banyak faedah dan kebaikan yang diperoleh jika kita mengusahakan pertanian dengan nilai inovasi. Salah satunya ialah negara dapat meningkatkan mutu hasil sesebuah produk pertanian yang diusahakannya seperti baka yang elok, baja yang baik dan sebagainya. Kemajuan dalam sektor ini turut  juga boleh melonjakkan  nama Malaysia sebagai salah satu negara yang popular dari segi pertanian . Selain itu, kemajuan ini  juga dapat dimanfaatkan oleh rakyat kerana banyak peluang pekerjaan yang boleh disyorkan kepada mereka yang menganggur atau mereka yang tiada peluang untuk meneruskan pelajaran mereka . Impak yang amat ketara ialah, tahap kemajuan di luar bandar akan berlaku dan jurang kemiskinan akan berjaya dirapatkan. Jika hasil pertanian meningkat, maka pendapatan negara juga akan meningkat dan krisis bekalan makanan dapat dibendung dan mungkin kita akan menjadi pengimport pertanian yang ternama di seluruh dunia.
              Konklusinya, inovasi memainkan peranan yang amat penting dalam memajukan sektor pertanian di negara kita. Dalam jangka masa yang panjang, negara kita memerlukan simpanan dan bekalan makanan yang berterusan bagi menjamin rakyat di negara ini tidak mengalami masalah kekurangan makanan yang boleh menyebabkan peningkatan harga barang, peningkatan kadar jenayah akibat kekurangan sumber makanan dan kadar inflasi yang tinggi. Banyak usaha yang boleh kita buat untuk menambah baik mutu dan membaik pulih industri ini. Dengan adanya inovasi dalam pertanian maka negara kita akan membangun dengan sempurna, aman dan harmoni.

KARANGAN 2-:

KRISIS makanan dunia kini sudah sampai ke tahap kecemasan. Inilah kenyataan dan amaran yang dikeluarkan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, beberapa hari lalu.

Krisis ini sudah meningkatkan kebimbangan global apabila pengeluaran beberapa jenis tanaman kontan seperti gandum, jagung dan beras susut secara mendadak di negara pengeluar utama. Beberapa negara Asia turut merasainya meskipun kebanyakan mereka adalah negara pengeluar beras utama dunia.

Keadaan ini memaksa Kerajaan Thailand dan Filipina mengeluarkan stok simpanan beras negara untuk diagihkan kepada rakyatnya. Di Indonesia, keadaan menjadi gawat apabila negara itu terpaksa bergelut dengan kenaikan harga barang seperti gula, gandum dan minyak masak sehingga memberi tekanan kepada kehidupan rakyatnya.

Negara Arab juga tidak terlepas daripada krisis ini. Mereka berdepan dengan kenaikan harga barang keperluan terutama harga gandum yang naik dua kali ganda sejak enam bulan lalu. Yaman, negara Arab yang dianggap paling miskin berdepan dengan kenaikan harga barang sehingga 20 peratus.

Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (FAO) yang bertanggungjawab memantau keperluan makanan dunia bimbang krisis global ini memungkinkan berlakunya lebih banyak rusuhan terutama di negara miskin. Protes keganasan sudah pun berlaku di beberapa negara seperti Haiti, Cameroon, Mesir, Argentina, Mexico, Senegal dan Burkina Faso.

Program Pemakanan Sedunia (WFP) sebuah organisasi yang mengurus bantuan kepada pelarian turut bimbang kenaikan harga barangan yang berterusan akan menjejaskan usaha mereka membantu kira-kira empat juta pelarian rakyat Iraq, Yaman, Palestin dan Mesir.

Keadaan menjadi semakin gawat apabila beberapa negara pengeluar mengambil tindakan menghentikan eksport makanan bijiran mereka ke negara lain. Mesir sudah mula menghentikan eksport beras mereka bagi memastikan bekalan domestiknya kekal pada harga murah, di samping memastikan rakyatnya tidak berdepan krisis kekurangan makanan.

Ban melihat krisis makanan global boleh mengancam usaha badan dunia itu, khususnya dalam kempen memerangi kelaparan kemiskinan sejagat. Ada kira-kira 854 juta penduduk dunia yang kelaparan dan bilangan itu bertambah empat juta orang, setiap tahun.

Untuk menangani krisis kekurangan makanan, beliau meminta masyarakat antarabangsa bertindak segera secara bersepadu supaya ia tidak membawa kepada kesan lebih parah yang boleh mengancam politik dan keselamatan dunia.

Setiausaha Agung PBB itu mencadangkan langkah kecemasan jangka pendek perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan makanan yang mendesak di samping melaksanakan tindakan jangka panjang bagi meningkatkan pengeluaran bijirin. Usaha ini dilihat amat mendesak bagi mengelak berlakunya kebuluran di banyak rantau di dunia.

Bolehkah masyarakat antarabangsa mengotakan janji untuk menyumbang bantuan kewangan bagi menangani masalah harga makanan yang semakin meningkat ketika ini? Setakat ini Amerika Syarikat (AS), sudah menghulur bantuan kecemasan sebanyak AS$200 juta (RM640 juta) bagi membantu negara yang mengalami kenaikan harga makanan.
Bantuan ini dikeluarkan AS daripada rizab makanannya yang dikenali sebagai Dana Amanah Kemanusiaan Bill Emerson.

Bantuan yang dihulurkan AS itu bertujuan membantu memenuhi keperluan makanan penduduk di negara Afrika dan rantau lain untuk tempoh masa yang pendek. Bantuan AS itu juga bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga komoditi ke atas program bantuan makanan kecemasan AS.

Perkembangan semasa menunjukkan harga makanan dunia meningkat sebanyak 40 peratus dan kadar simpanan makanan kini pada tahap terendah. Di antara punca peningkatan harga barang makanan dunia adalah kesan daripada lemahnya ekonomi dunia berikutan kenaikan berterusan harga minyak mentah.
Kini minyak mentah mencecah AS$110.87 (RM349.24) setong dan dijangka mencecah harga tertinggi iaitu sehingga AS$118 (RM371.70) setong. Ketua Pengarah FAO, Jacque Diouf pernah menyatakan kepada akhbar Telegraph bahawa peningkatan harga minyak dan harga makanan dunia bakal mengundang krisis sosial yang teruk pada masa depan.

Kenaikan harga minyak mentah yang tinggi ini memaksa negara maju seperti AS dan Australia membeli bahan bijirin seperti gandum, jagung dan soya dengan harga tinggi untuk penyelidikan biofuel.

Langkah negara maju ini memburukkan lagi krisis kekurangan bekalan makanan terutama di negara miskin. Selain itu, perubahan iklim dunia turut menjejaskan pengeluaran bahan makanan di beberapa tempat sehingga menyebabkan kenaikan harga makanan yang mendadak.

Perubahan iklim disebabkan pemanasan global mula dirasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Perubahan ini menyebabkan beberapa wilayah tanaman gandum di Kanada menjadi kering-kontang. Cuaca yang tidak menentu juga turut menjejaskan pengeluaran gandum.

Beberapa negara Asia sudah mula merasai masalah kekurangan bekalan makanan ruji. Begitu juga di Amerika Syarikat, Eropah, Australia dan India.

Pemanasan global memberi impak kepada perubahan geografi seperti daratan, tumbuhan, haiwan dan sumber air serta habitatnya. Semuanya dilihat semakin susut dan mengancam manusia. Bencana alam yang berlaku saban hari di kebanyakan tempat di dunia. Tahun lalu WFP melaporkan 57 negara termasuk 29 di Afrika, 19 di Asia dan sembilan di Amerika Latin dilanda banjir buruk yang menjejaskan sumber makanan.

Laporan itu turut menyatakan bahawa kemarau dan bahang panas di Asia, Eropah, China, Sudan, Mozambique dan Uruguay adalah sebahagian daripada bencana yang boleh menjejaskan pengeluaran makanan dunia.

PBB turut mendedahkan hasil pertanian dan ternakan terus susut berbanding kepesatan penduduk. Pertambahan penduduk dunia dalam masa 50 tahun meningkat daripada tiga bilion orang (1957) kepada 9.5 bilion orang (2007). Peningkatan ini tidak seimbang dengan hakikat sumber makanan yang semakin berkurangan.
Laporan FAO menyebut keluasan tanah bagi setiap orang semakin mengecil atau susut iaitu daripada 0.38 hektar pada 1970 kepada 0.23 hektar pada 2000 dan cuma 0.15 hektar pada 2050. FAO mendakwa, 30 peratus ternakan dan 75 peratus hasil pertanian pelbagai genetik sudah pupus.

Persoalannya mampukah dalam tempoh terdekat PBB mencari jalan untuk menangani masalah global ini? Dapatkah PBB memastikan bantuan kecemasan AS$500 juta (RM1.6 bilion) kepada WFP diperoleh selewat-lewatnya 1 Mei ini?

KARANGAN 3-:

Makanan adalah kebutuhan pokok umat manusia agar tetap dapat mempertahankan kehidupannya. Tanpa makanan manusia akan kelaparan dan tak mampu beraktivitas dengan baik. Saat ini makanan semakin beragam dan tahan lama. Berbeda dengan zaman orang tua kita dimana makanan hari ini adalah apa yang dimasak hari ini. Sekarang bahkan mie instan atau sarden kaleng dapat dimakan tahun depan. Teknologi pengolahan makanan terbaru membawa perubahan bagi cara mengolah makanan dan mengawetkannya agar kualitas bahan dan rasa makanan tetap terjamin walaupun disimpan dalam kurun waktu yang cukup lama.

Teknologi pengolahan makanan terbarupun kini telah lahir dan berkembang secara beragam. Dari mulai cara mengolah makanan sederhana dengan proses pengasinan atau pemanisan yang membuat makanan lebih awet.

Selain itu masih banyak lagi tata pengolahan makanan modern yang menjadikan makanan lebih tahan lama. Dengan menggunakan teknik dan teknologi pengolahan terbaru juga mampu menjadikan makanan dan minuman produk Indonesia dapat dikirim ke luar negeri. 

Teknologi pengolahan makanan terbaru banyak membawa kontribusi bagi pelaku industri dan masyarakat Indonesia sendiri sebagai konsumen. Berikut akan dipaparkan bagaimana cara mengelola makanan yang benar dan enak agar tahan lama tahun 2015 ini.
1. Teknik Pegasinan dan Pemanisan 

Yang pertama adalah proses pengasinan dan pemanisan. Cara yang satu ini mungkin cara pengolahan dan pengawetan makanan yang paling mudah dilakukan oleh semua orang. Misalnya saja adanya pengasinan telur bebek menjadi telur asin lalu pembuatan berbagai macam manisan buah. Kedua produk tersebut dapat ditemukan dengan mudah di pasar Indonesia. Dengan cara diasinkan atau dimaniskan suatu bahan pangan bisa menjadi lebih awet.

2. Teknik Pemanasan
Selanjutnya adalah pemanasan. Teknologi pengolahan makanan terbaru digunakan karena panas mampu membunuh bakteri dan kuman penyebab penyakit. Jika anda merebus daging maka sebaiknya rebuslah di suhu lebih dari seratus derajat Celcius.

Ada dua jenis pemanasan yaitu pemanasan ringan dan pemanasan berat. Khusus pemanasan ringan atau pasteurisasi biasanya dilakukan pada produk susu kemasan langsung minum yang banyak dijual di warung atau minimarket. Pemanasan berat dilakukan pada kaleng-kaleng sarden atau tuna yang hendak disterilkan ketika proses pengemasan. 

3. Teknik Pendinginan
 

Yang ketiga adalah teknologi pengolahan makanan terbaru berupa pendinginan. Proses pengolahan makanan berupa pendinginan adalah dengan menciptakan kondisi yang kurang nyaman bagi perkembangan dari bakteri atau virus. Akan tetapi tidak semua makanan mampu dimasukkan ke kulkas.

Ada makanan yang harus diklasifikasikan penyimpanannya di dalam kulkas. Misalnya ikan laut tak boleh dimasukkan ke dalam freezer. Hal ini berkebalikan dengan daging yang sebaiknya diletakkan dalam freezer agar lebih tahan lama. Proses pendinginan juga tidak selalu membunuh mikroorganisme berbahaya semisal Toksoplasma atau virus flu burung pada daging ayam.

KARANGAN 4-:



BARU-baru ini krisis tenaga dan makanan melanda dunia secara tiba-tiba seumpama kedatangan tsunami. Walaupun ada yang berpendapat mungkin krisis makanan hanya satu spekulasi global, ia sudah berlaku dan mendapat perhatian seluruh dunia. Krisis bahan api pula dikaitkan dengan krisis ketegangan politik dan peperangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan negara di Asia Barat termasuk Iran dan Iraq. Malaysia yang selama ini kaya dengan produk makanan daripada hasil pertanian dan petroleum juga turut merasai bahang krisis ini. Selain dua krisis global itu, isu pencemaran alam sekitar, pendidikan, kesihatan dan kemiskinan juga menjadi isu yang mesti ditangani secara teliti.

Nanoteknologi yang sudah mendapat perhatian pada akhir 1990-an dan dijangka mendominasi teknologi pada 2015, memberi satu harapan baru bagi menyelesaikan permasalahan global masa kini. Nanoteknologi berlandaskan faktor saiz pada ukuran nanometer atau teknologi pada tahap molekul atau setara dengan 50,000 lebih kecil daripada saiz rambut manusia, dilihat dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanannya.

 Ia difikirkan dan dicadangkan berpotensi bagi menangani permasalahan global. Malah dalam beberapa bidang, ia sudah mula terbukti dan menunjukkan keupayaannya. Permasalahan atau krisis global pernah diutarakan oleh Richard Smalley, pemenang Hadiah Nobel 2002 atas penemuan buckyball iaitu sejenis bahan nano berasaskan karbon. Beliau menggunakan konsep ‘garden of the physical sciences’ dalam melihat dan menganalisis faktor yang menyumbang berlaku krisis global. Bersama-sama permasalahan itulah beliau mencadangkan nanoteknologi sebagai kaedah terbaik menangani masalah berkenaan.

Konsep ‘garden of the physical sciences’ antaranya menyebut mengenai krisis kekurangan bahan api dan tenaga, kekurangan makanan, pencemaran alam, kesihatan, pendidikan dan kemiskinan. Secara umumnya kita memang sudah maklum dan selalu mendengar atau membaca permasalahan ini. Namun apakah penyelesaian yang kita harus ambil serta apakah asas pertimbangan yang perlu diambil dan dipertimbangkan dalam mengutarakan penyelesaiannya. Dalam krisis kekurangan makanan, kekurangan penghasilan sumber mentah makanan yang amat berkait rapat dengan pertanian adalah punca utama.

 Selain itu, pemprosesan bahan mentah pertanian kepada makanan, tidak dioptimumkan sepenuhnya. Ini menyebabkan peratus kadar penghasilan makanan hasil pertanian agak rendah, banyak hasilan pertanian terbuang begitu saja. Pengurusan secara teknologi hasil pertanian kepada bahan makanan juga faktor menyebabkan kekurangan makanan di mana banyak bahan mentah pertanian tidak dapat diproses sepenuhnya kepada hasilan makanan. Teknologi pemprosesan, penghantaran dan pembungkusan juga menyumbang kepada edaran makanan ke seluruh dunia. Transformasi hasil pertanian kepada makanan pada kadar 100 peratus perlu dilihat secara serius melalui penerapan konsep sisa sifar. Dalam menangani krisis makanan sedunia ini, nanoteknologi menawarkan pelbagai alternatif dan pendekatan yang amat meyakinkan. Ia merangkumi sudut yang amat luas daripada peringkat kaedah penanaman hinggalah ke peringkat sistem pemprosesan makanan.

 Penghasilan hasilan pertanian yang tinggi amat penting bagi meningkatkan bekalan makanan. Bagaimanapun faktor keluasan kawasan pertanian, tahap kesuburan tanah, kesesuaian cuaca dan tenaga manusia menjadi halangan kepada penghasilan produk pertanian yang tinggi. Pendekatan menggunakan nanoteknologi mestilah dipertimbangkan dalam industri pertanian selain teknologi yang sudah digunakan selama ini. Keyakinan yang amat tinggi disandarkan ke atas nanoteknologi berdasarkan keyakinan terhadap konsep dan teori yang sudah mula diterima ramai.

 Penggunaan baja zarah-nano, bahan penggalak zarah-nano bagi daun dan buah adalah produk nanoteknologi yang memberi harapan bagi peningkatan hasil pertanian. Pemprosesan hasil pertanian kepada hasilan makanan melalui nanoteknologi juga akan memberi peratus transformasi lebih tinggi walaupun pada masa kini mungkin kos penggunaan teknologi ini agak tinggi. Teknologi pembungkusan makanan menggunakan bahan nanoteknologi misalnya bahan pembungkus makanan yang boleh memanjangkan jangka hayat makanan, mengekalkan kesegaran hasil pertanian sebelum proses seterusnya membuka harapan baru bagi mengatasi krisis makanan.

Penghasilan makanan berkualiti tinggi, rasa yang lebih sedap dan kandungan nutrisi yang jauh lebih baik akan meningkatkan kualiti pemakanan penduduk dunia. Sumber tenaga yang hampir 90 peratus bergantung kepada bahan pertroleum semakin dipersoalkan apabila banyak telaga minyak dijangka menyusut penghasilannya dengan ketara menjelang 2025. Kini krisis tenaga sudah mula dirasai apabila harga minyak pernah melambung naik melepasi paras AS$130 setong. Walaupun ia juga dilihat amat berhubung rapat dengan spekulasi pasaran dan krisis politik antarabangsa, hakikat bahawa sumber petroleum akan habis pada masa terdekat harus diterima.

 Kini negara maju, sedang membangun dan negara dunia ketiga sudah menjalankan usaha dalam mencari tenaga alternatif. Di antara tenaga alternatif yang sedang giat dibangunkan ialah sel suria, bahan api-bio, biogas dan sel bahan api, manakala tenaga nuklear adalah alternatif terakhir. Kecekapan sel suria sudah dapat ditingkatkan sebanyak 80 peratus dengan menggunakan nanoteknologi berbanding teknologi kini iaitu melalui penggunaan silikon zarah-nano terkuanta dalam sel solar jenis tendem. Penghasilan bateri berasaskan litium dan bahan nano oksida mampu memberi jangka hayat yang jauh lebih panjang dengan keupayaan lebih tinggi. Selain itu, penghasilan lampu berasaskan diod nanoteknologi berkecekapan tinggi akan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.

 Nanoteknologi pernah diutarakan oleh ramai saintis, adalah salah satu teknologi yang akan dapat membantu menangani kadar kemiskinan sesebuah negara atau masyarakat dan membantu golongan miskin menikmati kemudahan asas serta kemudahan teknologi seperti sistem telekomunikasi dan komputer. Amatlah meyakinkan keupayaan nanoteknologi ini, dengan berasaskan kepada keupayaan yang amat tinggi misalnya dalam penghasilan tenaga alternatif melalui pembuatan sel solar berkecekapan tinggi, maka ia akan mengurangkan penggunaan tenaga daripada petroleum. Komputer berkelajuan dan berkecekapan tinggi yang mampu dihasilkan daripada karbon bertiub-nano akan dapat dijual dengan harga lebih murah dan akan memberi peluang kepada rakyat negara miskin memiliki teknologi asas ini.

Sistem rawatan air menggunakan penapis saput-nano memberi kualiti air yang sangat baik, bebas bakteria dan zarah halus dengan kecekapan tinggi, akan membantu mengurangkan kos rawatan air. Ia akan membantu rakyat dari negara miskin menikmati kemudahan asas ini lebih murah dan terjamin kebersihannya. Penjagaan kesihatan juga dapat dipertingkatkan bagi penduduk dunia dengan penghasilan pelbagai makanan kesihatan berasaskan nanoteknologi selain rawatan perubatan berteknologi-nano dan produk farmaseutikal berteknologi-nano.

 Kecekapan nanoteknologi dalam bidang penjagaan kesihatan melalui pelbagai kaedah rawatan berketepatan tinggi di samping penghasilan produk farmaseutikal yang amat berkesan, diharap dapat mengurangkan kos rawatan untuk jangka panjang dan meningkatkan tahap kesihatan seluruh manusia di muka bumi. Kehadiran nanoteknologi kepada dunia diharap memberi satu alternatif bagi penyelesaian masalah global yang semakin mencabar dan ada kalanya di luar jangkaan pemikiran dan perhitungan manusia.


KARANGAN 5-:


SEMUA manusia yang hidup di dunia ini memerlukan makanan. Tidak dapat dinafikan makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini.

Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras tertinggi.

Kenaikan harga pasaran bijirin juga telah memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu. Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbendung kepada negara-negara tertentu sahaja. Menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari 73 juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun-tahun mendatang.

Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakan lagi kesan yang berlaku. Ini kerana apabila harga barang makanan meningkat, maka semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan makanan tersebut selari dengan teori mekanisma harga yang menjadi mekanisma asas pengagihan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang dagangan ini pula dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia.

Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan juga antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan atau kekurangan sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya.

Menurut Program Bahan Makanan dan Pertanian PBB, masyarakat antarabangsa perlu menubuhkan rizab antarabangsa untuk menstabilkan harga bahan makanan. Rizab itu juga perlu ditubuhkan di pelbagai negara dan kawasan untuk menyediakan bahan makanan kepada penduduk yang hidup susah ketika berlakunya krisis. Selain itu, pelbagai negara khususnya negara-negara membangun perlu meningkatkan peruntukan dalam bidang pertanian. 98% penduduk yang menderita kelaparan adalah dari negara-negara membangun.

Untuk mengatasi krisis makanan dunia ini, negara-negara pertanian boleh memainkan peranannya. Antara kaedah bagi mengatasi krisis ini ialah pertama, kawasan tanaman mestilah diperluaskan untuk menambah bekalan. Contohnya seperti yang dilaksanakan di Malaysia di mana negeri Sabah dan Sarawak telah dijadikan negeri pertanian bagi menambahkan sumber makanan kepada rakyat. Kawasan tanah bukit juga boleh digunakan untuk penanaman andainya mengikut teknologi yang sesuai seperti sistem pengairan moden, baja, teknik tanaman dan sebagainya.

Hakikatnya, negara-negara membangun seperti Malaysia mempunyai empat kekuatan iaitu tanah yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber manusia yang besar, dan kekayaan sumber alam semulajadi. Dengan tanah yang subur dan luas, pertanian perlu difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan lahan pertanian melalui penerapan undang-undang yang bersangkutan dengan hukum tanah pertanian. Selain itu, sistem pengangkutan yang efisien juga perlu dibangunkan agar pengedaran makanan menjadi lebih teratur, berkesan, cepat dan mudah.

Dari aspek sumber manusia, dianggarkan terdapat lebih kurang 48 juta orang yang menjalankan aktiviti pertanian. Bagi memastikan setiap individu di dalam negara-negara membangun mendapat keperluan asasnya, kerajaan perlu memberikan peluang dan galakan kepada orang-orang miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan apa juga bantuan kepada mereka.

Negara-negara membangun terutamanya negara-negara pertanian di seluruh dunia harus mencontohi Malaysia di mana telah mewujudkan beberapa projek mega pertanian seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Zon Industi Akuakultur, Ladang Kontrak, Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani dan Pusat Fidlot Nasional. Malaysia juga melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti tujuh langkah perlaksanaan iaitu meningkatkan pengeluaran beras, pewujudan stok penimbal beras, pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian dan mewujudkan program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan pertanian. Langkah lain termasuk mengukuhkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian, melaksanakan program Bumi Hijau dan mengurus kawasan terbiar untuk meningkatkan pengeluaran komoditi sekuriti.

Negara-negara membangun khususnya negara pertanian di seluruh dunia juga harus beralih kepada melaksanakan teknik kultur tisu. Teknik kultur tisu, Molecular Assisted Selection (MAS) dan penggunaan bioreactor boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti makanan.

Bioteknologi harus dilihat sebagai alat yang boleh dimanfaatkan ketika dunia menghadapi krisis makanan kerana pemilihan baka atau benih yang dihasilkan menerusi bioteknologi mempunyai ciri-ciri yang lebih baik sama ada cepat matang, hasil lebih tinggi dan tahan penyakit. Teknologi kini dapat membantu pengeluaran makanan khususnya yang asas seperti padi, gandum dan jagung, meskipun wujud prejudis daripadanya. Isu-isu seperti organisme terubah suai secara genetik (GMO) menjadikan manusia ragu-ragu terhadap teknologi tersebut tetapi Molecular Assisted Selection boleh menjadi alternatif.

Kawasan penanaman semakin berkurangan sedangkan penduduk semakin meningkat. Justeru, sebagai alternatif, bioteknologi boleh meningkatkan pengeluaran makanan secara berganda untuk keperluan manusia. Universiti dan agensi penyelidikan tempatan seperti Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), sebagai contoh boleh menggandakan usaha menghasilkan lebih banyak penyelidikan yang mampu melipatgandakan pengeluaran produk makanan.

Kesimpulannya, negara-negara membangun terutamanya negara-negara pertanian boleh memainkan peranan yang besar dalam mengatasi krisis makanan dunia. Walaupun negara-negara ini sinonim dengan kemiskinan tetapi kekayaan tanah yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber manusia yang besar, dan kekayaan dari sumber alam semulajadi merupakan anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai harganya yang boleh dijadikan modal asas dalam usaha menggiatkan bidang pertanian.

Comments

Popular posts from this blog

MASALAH SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

BAB 9:LARAS BAHASA

STRESS